KUALA LUMPUR - Untuk bersihkan nama, Jho Low Perlu Dihadapkan ke Mahkamah.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, seluruh negara malah dunia terkejut menerima berita gempar rampasan kapal mewah Equanimity bernilai RM1 bilion oleh polis Indonesia di Bali semalam.
Menurutnya, berdasarkan siasatan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat terhadap skandal 1MDB, kapal mewah ini didakwa dimiliki seorang ahli perniagaan bernama Jho Low.
"Polis Indonesia berkata bahawa rampasan kapal mewah ini dibuat dengan kerjasama pihak FBI dari Amerika Syarikat, memandangkan DOJ mendakwa kapal mewah tersebut dibeli oleh Jho Low menggunakan wang yang diseleweng dari 1MDB.
"Saya percaya ramai rakyat Malaysia yang menerima baik berita rampasan kapal mewah ini. Namun, kita juga malu kerana ia menunjukkan bagaimana tindakan undang-undang berkaitan skandal 1MDB kelihatan hanya berlaku di luar negara, termasuk di Amerika Syarikat, Singapura, Luxembourg, Switzerland dan terkini Indonesia," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurutnya,memandangkan Jho Low telah mengecam rampasan kapal mewah beliau, dan memandangkan rampasan tersebut dibuat atas dakwaan wang RM 1 bilion yang diguna untuk membeli kapal mewah diseleweng dari 1MDB, Jho Low sebenarnya perlu segera pulang ke Malaysia dan membersihkan nama beliau dengan menyerah diri untuk didakwa di mahkamah di negara ini.
Peguam Negara perlu memulakan tindakan mahkamah terhadap Jho Low dan lain-lain individu yang dipercayai terlibat dalam skandal 1MDB, tidak kira siapa atau jawatan apa yang dipegang.
Pada masa yang sama, Jho Low juga wajib membersihkan nama beliau di negara-negara lain yang menyiasat skandal 1MDB, termasuk di Amerika Syarikat
Selagi Jho Low tidak dihadapkan ke mahkamah di Malaysia dan di mana-mana negara lain yang menyiasat skandal 1MDB, selagi itu persepsi keterlibatan Jho Low dan individu-individu lain dalam skandal penyelewengan wang 1MDB akan mengukuh,"katanya.
Tuntutan sivil yang difailkan DoJ kira-kira dua tahun lalu, sejumlah AS$4.5 bilion (RM17.6 bilion) wang 1MDB disalahgunakan oleh pegawai tinggi dana dan rakan sekutu mereka.
Pada Ogos 2017, DoJ meminta penangguhan tuntutan sivil yang dikemukakannya untuk merampas aset bernilai lebih AS$1.7 bilion (RM6.67 bilion) yang dipercayai dibeli dengan dana 1MDB.
Antara aset yang dicari itu termasuk kapal mewah bernilai AS$250 juta (RM981 juta) yang dibeli pembiaya Malaysia, Jho Low yang dinamakan sebagai individu utama dalam tuntutan undang-undang AS tersebut.
Low yang gagal dikesan hingga kini didakwa membeli Equanimity menggunakan wang dicuri daripada dana 1MDB yang didaftarkan di Kepulauan Cayman.
Aset lain yang dibeli olehnya termasuk jet peribadi, sebuah hotel dan hartanah di New York serta kepentingan berjumlah AS$107 juta (RM419 juta) dalam EMI Music Publishing.
Beberapa aset dilaporkan telah dipulangkan seperti dilakukan model dan aktres dari Australia, Miranda Kerr yang memulangkan barang kemas bernilai jutaan dolar yang diberikan Low kepada pihak berkuasa AS.
Pelakon terkenal, Leonardo DiCaprio turut memulangkan anugerah Oscar yang dimenangi Marlon Brando dan barangan lain kepada Washington yang didakwa dibiayai menggunakan wang 1MDB.
sumber:.sinarharian.com
0 Response to "Kapal mewah dirampas : Jho Low perlu dihadapkan ke mahkamah"
Catat Ulasan