
BALING - Misteri kehilangan seorang pemuda selepas masuk ke dalam hutan berhampiran kawasan Rawat dan Rehat (RNR) Bintang Hijau, Perak sejak Ahad lalu terjawab selepas mayatnya ditemui dalam hutan tersebut, Khamis lalu.
Mayat Mohamad Haniff Mat Zabidi, 24, dari Kampung Charok Kapas ditemui terbaring dalam hutan itu oleh adiknya, Mohd Azrul Anas, 23, kira-kira jam 4 petang.
Difahamkan, mangsa keluar bersama tiga lagi rakan untuk memburu burung.
Ibu mangsa, Hanisah Aziz, 48, berkata, mangsa berseorangan ke hutan itu selepas tiga rakannya berhenti mengisi minyak di sebuah stesen di Kemangi, Mukim Bayu.
“Hari tu dia keluar sekitar jam 5 atau 6 petang. Mungkin dia pi buru burung atau tangkap ikan.
“Ikutkan cerita kawan-kawan dia, depa berhenti isi minyak, anak pula dikatakan teruskan perjalanan. Semua naik motor asing-asing,” katanya.
Menurutnya, tiga lagi rakan arwah selepas itu meneruskan perjalanan dan masuk ke dalam hutan untuk memburu burung seperti dirancang.
“Tapi kawan-kawan dia pun tak tau dia pi ke arah mana. Esoknya baru depa cerita dekat Azrul yang anak makcik bergerak berseorangan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Charok Kapas.
Bagaimanapun katanya, tiada perkara buruk disyaki kerana arwah gemar memburu burung dalam hutan dalam tempoh lama.
“Tapi makcik tak syak apa lagi, sebelum ini pun dia memang duk masuk hutan. Kadang-kadang balik hari, kadang duk dalam hutan sampai tiga hari dan lebih," katanya.
Tambahnya, anak kelima daripada sembilan beradik itu juga begitu minat memburu burung terutama murai dan menangkap ikan sungai untuk buat pekasam.
Namun perasaan Hanisah mula tidak tenteram pada hari ketiga.
“Hari ketiga hati makcik rasa tak sedap hati, Azrul pun asyik tanya bila Haniff nak balik rumah.
“Malam tu makcik buat solat hajat dan baca Yasin tiga kali minta ALLAH selamatkan anak. Dalam doa, jika dia memang dah tiada makcik reda dan pohon agar jasadnya ditemui,” katanya.
Manakala Azrul Anas berkata, usaha mencari mangsa dibuat sejak hari ketiga namun menemui jalan buntu.
“Saya dan kawan-kawan pi cari di hutan sekitar Gerik tapi memang tak jumpa, kesannya pun tak ada,” katanya.
Menurutnya, pada hari keempat, dia bersama tiga kawan termasuk abangnya (Mohd Azril, 27) meneruskan usaha mencari bermula jam 8 pagi.
“Mula- mula cari di kawasan kuari pasir tapi tak jumpa. Lepas tu kami masuk dalam hutan berhampiran RNR Bukit Hijau dan jumpa motosikal abang,” katanya.
Katanya, mayat mangsa akhirnya ditemui dengan jarak lebih 1 km daripada lokasi motosikalnya dan tidak jauh dari kawasan pembalakan.
“Sebelum jumpa abang, saya dan kawan nampak kesan-kesan ranting yang dipatahkan. Tapak kasut dia (mangsa) masih berbekas di tanah.
“Kami ikut kesan-kesan tu sampailah jumpa mayat abang. Fizikal jasad masih lagi elok,” katanya.
Terdahulu, jenazah arwah Mohamad Haniff selesai disolatkan jam 6.15 petang di Surau Kampung Charok Kapas sebelum dibawa menaiki van ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Charok Kapas untuk dikebumikan.
0 Response to "Rupanya abang sudah tiada"
Catat Ulasan